Friday 11 March 2011

pakaian lambang warisan keagungan

PAKAIAN TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU

Baju kurung teluk belanga


Baju kurung Teluk Belanga juga lebih dikenali sebagai baju kurung atau baju kurung Johor. Baju ini boleh dipakai oleh kaum lelaki dan wanita.Dari segi sejarahnya, baju ini mula dipakai pada zaman pemerintahan Sultan Johor, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar yang bersemayam di Teluk Belanga, Singapura pada sekitar tahun 1800-an. Justeru itulah ia dipanggil Baju Kurung Teluk Belanga dan ia juga merupakan pakaian kebangsaan orang Melayu Johor. Sejak itu pemakaian baju ini telah berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Baju kurung merupakan pakaian kebangsaan rakyat Malaysia dan banyak dipakai dalam majlis-majlis rasmi. Baju Kurung Teluk Belanga adalah labuh, dan potongannya longgar kerana dirusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut.

Baju kurung kedah


Baju kurung Kedah dipercayai berasal dari selatan Thailand di mana wanitanya kini memakai baju berleher potongan bujur sireh. Ianya dikenakan bersahaja, ketika bekerja di rumah sebagai pakaian harian. Baju kurung Kedah selalunya diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau pelikat yang diikat ke depan dengan motif kepalanya di hadapan.

Baju kurung cekak musang


Baju kurung cekak musang adalah sama dengan baju kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya.Leher baju kurung cekak musang ada kolar.Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak.Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing.Biasanya ada satu kancing pada kolar dan dua atau tiga lagi kancing pada bukaannya.Butang emas atau emas berbatu permata digunakan sebagai pengancingnya.Kancing yang paling terkenal ialah kancing emas yang dipanggil garam sebuku dan kancing berbatu permata yang dikenali sebagai kunang-kunang sekebun.Baju kurung cekak musang wanita boleh dipakai dengan seluar atau kain sarung. Seluar yang selalu digunakan ialah kain seluar panjang,seluar panjang dan seluar bambu.Jika mahu,samping dan selendang juga boleh dipakai bersama.Baju kurung cekak musang lelaki pula dipakai dengan seluar dan bersamping.Lebih segak lagi apabila bertanjak atau bersongkok.


Baju kebaya


Baju kebaya dipakai oleh wanita Melayu. Ada dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arab habaya yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan.Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka,maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka;bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih.Tangannya panjang dan lebar.Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung.Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju.Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus.Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang.Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak.Kebaya ada pelbagai gaya.Contohnya di Selangor,kebayanya tidak berkolar.Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain.Di Pahang pula,baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain;malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu.

Baju melayu


Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu dan ia terdiri dari dua jenis iaitu Baju Kurung Teluk Belanga ataupun Baju Cekak Musang.Baju ini biasanya dipakai semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan,kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan Sembahyang Jumaat.Selain itu ia juga amat sesuai dipakai pada Hari Raya dan juga majlis-majlis rasmi.Pemakai Baju Melayu kelihatan lebih berseri apabila ia mengenakan samping dan songket Pada acara-acara biasa seperti kenduri-kendara dan Sembahyang Jumaat,ia dipakai bersama kain pelekat atau kain tenun sutera.

PAKAIAN TRADISIONAL MASYARAKAT CINA

Samfoo


Samfoo membawa maksud 'baju dan seluar' dalam dialek Kantonis. Ia merupakan pakaian harian wanita keturunan Cina selain dari 'cheong sam'. Ia digemari oleh wanita-wanita separuh umur dan yang bekerja di ladang, lombong atau di rumah. Samfoo diperbuat daripada kain nipis yang tidak bercorak atau berbunga halus.Samfoo turut dipakai oleh lelaki berketurunan Cina tetapi mempunyai sedikit perbezaan dengan samfoo yang dipakai oleh wanita Cina. Pakaian ini terdiri daripada baju yang longgar dan terbelah di depan dan berkolar tinggi serta dipakai bersama seluar longgar seperti seluar baju Melayu. Pakaian ini biasanya diperbuat daripada kain lembut seperti kain sutera. Pakaian tradisional ini jarang sekali dipakai oleh lelaki berketurunan Cina di Malaysia.

Cheongsam


Pakaian ini dipakai oleh wanita berketurunan Cina. Biasanya dipakai pada upacara-upacara tertentu seperti majlis perkahwinan dan semasa Tahun Baru Cina. Tetapi kini, pakaian ini jarang dipakai oleh wanita Cina di Malaysia kerana mereka lebih gemar memakai pakaian fesyen negara barat. Cheongsam dikatakan berasal dari baju tradisional lelaki Cina yang labuh sampai ke kaki. Perkataan 'cheong sam' dalam dialek kantonis bermaksud 'baju labuh'. Cheongsam dipercayai mula diperkenalkan semenjak revolusi di Negera China pada tahun 1911.Baju ini asalnya labuh tetapi lama-kelamaan disingkatkan hingga ke paras lutut. Pada mulanya, kolar baju antara 3 hingga 4 cm sahaja tetapi kemudiannya ditinggikan sehingga menjadi 7 cm. Cheongsam dipakai ketat dan berbelah di kiri dan kanannya.

PAKAIAN  TRADISIONAL MASYARAKAT INDIA

Sari


cara pemakaian sari
Sari merupakan pakaian tradisional kaum India yang mudah dikenali seluruh dunia. Sebidang kain berukuran 5 hingga 6 ela panjang dipadankan dengan kain dalam yang berwarna seakan-akan kainsari tersebut, serta choli yang berwarna sama atau setentang dengannya. Kain sari ini akan dililit pada badan dengan bahagian hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri.

Kurta

Kurta pula adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki India di majlis rasmi. Ia merupakan kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain kapas atau linen.

PAKAIAN TRADISIONAL PERIBUMI SABAH DAN SARAWAK

Kaum Iban


Pakaian tradisional Masyrakat Iban iaitu baju Burung bagi lelaki dan kain tenun/kain kebat bagi perempuan.Pakaian tradisional lelaki turut dilengkapi sirat(dipakai sebagai seluar) dan lelanjang iaitu topi yang dihias dengan bulu burung merak/burung kenyalang. Bagi perempuan pula pakaian mereka dilengkapi dengan sugu tinggi (dipakai di kepala), marik empang (dipakai dileher),tumpa (gelang tangan), rawai (dipakai di pinggang), gelang kaki, buah pauh dan juga tali hujan.

Kaum Bidayuh
Wanita Bidayuh mamakai baju Jipo dan skirt pendek beserta sipiah di kepala.

Kaum Melanau

Wanita Melanau suku sembilan Pikul ini memakai pakaian pengantin sarebaeng atau Bajo Baban.

Kaum Ulu


Pasangan Orang Ulu. Lelaki memakai kulit kambing sunong dan cawat satin serta perhiasan kepala daripada bulu kenyalang. Wanita menggayakan ta'ah baldu merah berhiaskan labuci motif aso dan naga.

Kaum Melayu Sarawak


Pakaian tradisional masyarakat Melayu Sarawak dimana yang lelaki memakai baju melayu manakala yang perempuan memakai baju kurung dan berselendang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...