Friday, 11 March 2011

pakaian lambang warisan keagungan

PAKAIAN TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU

Baju kurung teluk belanga


Baju kurung Teluk Belanga juga lebih dikenali sebagai baju kurung atau baju kurung Johor. Baju ini boleh dipakai oleh kaum lelaki dan wanita.Dari segi sejarahnya, baju ini mula dipakai pada zaman pemerintahan Sultan Johor, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar yang bersemayam di Teluk Belanga, Singapura pada sekitar tahun 1800-an. Justeru itulah ia dipanggil Baju Kurung Teluk Belanga dan ia juga merupakan pakaian kebangsaan orang Melayu Johor. Sejak itu pemakaian baju ini telah berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Baju kurung merupakan pakaian kebangsaan rakyat Malaysia dan banyak dipakai dalam majlis-majlis rasmi. Baju Kurung Teluk Belanga adalah labuh, dan potongannya longgar kerana dirusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut.

Baju kurung kedah


Baju kurung Kedah dipercayai berasal dari selatan Thailand di mana wanitanya kini memakai baju berleher potongan bujur sireh. Ianya dikenakan bersahaja, ketika bekerja di rumah sebagai pakaian harian. Baju kurung Kedah selalunya diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau pelikat yang diikat ke depan dengan motif kepalanya di hadapan.

Baju kurung cekak musang


Baju kurung cekak musang adalah sama dengan baju kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya.Leher baju kurung cekak musang ada kolar.Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak.Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing.Biasanya ada satu kancing pada kolar dan dua atau tiga lagi kancing pada bukaannya.Butang emas atau emas berbatu permata digunakan sebagai pengancingnya.Kancing yang paling terkenal ialah kancing emas yang dipanggil garam sebuku dan kancing berbatu permata yang dikenali sebagai kunang-kunang sekebun.Baju kurung cekak musang wanita boleh dipakai dengan seluar atau kain sarung. Seluar yang selalu digunakan ialah kain seluar panjang,seluar panjang dan seluar bambu.Jika mahu,samping dan selendang juga boleh dipakai bersama.Baju kurung cekak musang lelaki pula dipakai dengan seluar dan bersamping.Lebih segak lagi apabila bertanjak atau bersongkok.


Baju kebaya


Baju kebaya dipakai oleh wanita Melayu. Ada dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arab habaya yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan.Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka,maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka;bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih.Tangannya panjang dan lebar.Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung.Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju.Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus.Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang.Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak.Kebaya ada pelbagai gaya.Contohnya di Selangor,kebayanya tidak berkolar.Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain.Di Pahang pula,baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain;malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu.

Baju melayu


Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu dan ia terdiri dari dua jenis iaitu Baju Kurung Teluk Belanga ataupun Baju Cekak Musang.Baju ini biasanya dipakai semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan,kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan Sembahyang Jumaat.Selain itu ia juga amat sesuai dipakai pada Hari Raya dan juga majlis-majlis rasmi.Pemakai Baju Melayu kelihatan lebih berseri apabila ia mengenakan samping dan songket Pada acara-acara biasa seperti kenduri-kendara dan Sembahyang Jumaat,ia dipakai bersama kain pelekat atau kain tenun sutera.

PAKAIAN TRADISIONAL MASYARAKAT CINA

Samfoo


Samfoo membawa maksud 'baju dan seluar' dalam dialek Kantonis. Ia merupakan pakaian harian wanita keturunan Cina selain dari 'cheong sam'. Ia digemari oleh wanita-wanita separuh umur dan yang bekerja di ladang, lombong atau di rumah. Samfoo diperbuat daripada kain nipis yang tidak bercorak atau berbunga halus.Samfoo turut dipakai oleh lelaki berketurunan Cina tetapi mempunyai sedikit perbezaan dengan samfoo yang dipakai oleh wanita Cina. Pakaian ini terdiri daripada baju yang longgar dan terbelah di depan dan berkolar tinggi serta dipakai bersama seluar longgar seperti seluar baju Melayu. Pakaian ini biasanya diperbuat daripada kain lembut seperti kain sutera. Pakaian tradisional ini jarang sekali dipakai oleh lelaki berketurunan Cina di Malaysia.

Cheongsam


Pakaian ini dipakai oleh wanita berketurunan Cina. Biasanya dipakai pada upacara-upacara tertentu seperti majlis perkahwinan dan semasa Tahun Baru Cina. Tetapi kini, pakaian ini jarang dipakai oleh wanita Cina di Malaysia kerana mereka lebih gemar memakai pakaian fesyen negara barat. Cheongsam dikatakan berasal dari baju tradisional lelaki Cina yang labuh sampai ke kaki. Perkataan 'cheong sam' dalam dialek kantonis bermaksud 'baju labuh'. Cheongsam dipercayai mula diperkenalkan semenjak revolusi di Negera China pada tahun 1911.Baju ini asalnya labuh tetapi lama-kelamaan disingkatkan hingga ke paras lutut. Pada mulanya, kolar baju antara 3 hingga 4 cm sahaja tetapi kemudiannya ditinggikan sehingga menjadi 7 cm. Cheongsam dipakai ketat dan berbelah di kiri dan kanannya.

PAKAIAN  TRADISIONAL MASYARAKAT INDIA

Sari


cara pemakaian sari
Sari merupakan pakaian tradisional kaum India yang mudah dikenali seluruh dunia. Sebidang kain berukuran 5 hingga 6 ela panjang dipadankan dengan kain dalam yang berwarna seakan-akan kainsari tersebut, serta choli yang berwarna sama atau setentang dengannya. Kain sari ini akan dililit pada badan dengan bahagian hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri.

Kurta

Kurta pula adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki India di majlis rasmi. Ia merupakan kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain kapas atau linen.

PAKAIAN TRADISIONAL PERIBUMI SABAH DAN SARAWAK

Kaum Iban


Pakaian tradisional Masyrakat Iban iaitu baju Burung bagi lelaki dan kain tenun/kain kebat bagi perempuan.Pakaian tradisional lelaki turut dilengkapi sirat(dipakai sebagai seluar) dan lelanjang iaitu topi yang dihias dengan bulu burung merak/burung kenyalang. Bagi perempuan pula pakaian mereka dilengkapi dengan sugu tinggi (dipakai di kepala), marik empang (dipakai dileher),tumpa (gelang tangan), rawai (dipakai di pinggang), gelang kaki, buah pauh dan juga tali hujan.

Kaum Bidayuh
Wanita Bidayuh mamakai baju Jipo dan skirt pendek beserta sipiah di kepala.

Kaum Melanau

Wanita Melanau suku sembilan Pikul ini memakai pakaian pengantin sarebaeng atau Bajo Baban.

Kaum Ulu


Pasangan Orang Ulu. Lelaki memakai kulit kambing sunong dan cawat satin serta perhiasan kepala daripada bulu kenyalang. Wanita menggayakan ta'ah baldu merah berhiaskan labuci motif aso dan naga.

Kaum Melayu Sarawak


Pakaian tradisional masyarakat Melayu Sarawak dimana yang lelaki memakai baju melayu manakala yang perempuan memakai baju kurung dan berselendang.

Monday, 7 March 2011

jom terokai malaysia

Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada 14 buah negeri. Setiap negeri mempunyai tempat yang menarik. Jom terokai tempat-tempat perlancongan terpilih di setiap negeri yang ada di Malaysia.





Wilayah Persekutuan Putrajaya




taman botani Putrajaya

Taman Botani dibina bagi memelihara spesis-spesis tumbuhan dan sebagai tempat himpunan koleksi tumbuhan. Antaranya ialah Taman Botani Kepong, Taman Botani Shah Alam, Taman Botani Ipoh, Taman Botani Pulau Pinang, Taman Botani Melaka dan banyak lagi. Taman Botani Putrajaya merupakan salah satu tempat menarik yang popular yang perlu anda kunjungi jika sampai ke Putrajaya. Taman yang keluasan 92 hektar meruapakan Taman Botani yang terbesar di Malaysia  . 
Taman ini terbahagi kepada tiga bahagian; tanaman bunga, taman dan juga pusat kajian. Terdapat lebih dari 700 spesis tanaman berbunga, selain tumbuhan tempatan dan tanaman dari rantau Asia-Pasifik dan Afrika. Kawasan ini juga berfungsi sebagai pusat penyelidikan, selain mempunyai koleksi yang pelbagai. Memang amat sesuai untuk bawa anak-anak serta keluarga berjalan-jalan ke sini kerana ia merupakan tapak pembelajaran bagi pelajar mengenali alam semulajadi. Kanak-kanak pasti menyukai koleksi tanaman eksotik yang terdapat di sini. Di sini terdapat restoran dan pelbagai kemudahan lain termasuk kemudahan tapak bagi mengadakan acara perkahwinan. 



Kedah Darul Aman







Kedah mempunyai banyak tempat pelancongan menarik lagi bersejarah.Ibu negeri Kedah, Alor Setar itu sendiri telah melahirkan ramai pemimpin negara yang berwibawa seperti Perdana Menteri Malaysia pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad. Antara tempat menarik yang lain ialah seperti;
Balai Besar yang dibina pada tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Muadzam Shah. Dinding, atap dan lantainya diperbuat daripada kayu. Balai Nobat pula dibina setinggi lapan meter dan lima meter lebar. Tempat ini menyimpan pelbagai khazanah peralatan muzik diraja, antaranya serunai, nafiri, gendang dan gong. Galeri Seni Lukis pula menghimpunkan pelbagai hasil seni termasuk seni lukis, fotografi, pertukangan tangan dan peralatan muzik.
Muzium Diraja Kedah pula merupakan Bangunan yang diperbuat daripada kayu dan dibina oleh Sultan Muhammad Jiwa Muadzam Shah pada 1735. Tunku Abdul Rahman dilahirkan dan dibesarkan di bangunan bekas istana ini.
Bagi yang beragama Islam, anda boleh melawati dan bersolat di Masjid Zahiryang dibina pada tahun 1912 sebagai penghargaan kepada Tunku Mahmud Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Menara Alor Star salah satu tempat yang juga menjadi tarikan pelancong. Tempat ini terletak di tengah bandaraya Alor Star dengan ketinggian 165.5 meter dan melambangkan kemodenan dan kepesatan pembangunan di Kedah. Ia berfungsi sebagai menara telekomunikasi.
Pekan Rabu adalah tempat untuk menjamu selera dan membeli pelbagai cenderahati. Contoh cenderahati ialah barangan termasuk pakaian, kraftangan dan makanan tradisional. Pekan Rabu terletak berdekatan bangunan jabatan kerajaan. Walaupun namanya Pekan Rabu, perniagaannya dibuka setiap hari berikutan sambutan orang ramai. 
Perak Darul Ridzuan





menara condong

Menara Condong Teluk Intan merupakan salah satu tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri Perak. Reka bentuk binaanya agak unik dengan memaparkan keindahan seni pertukangan tradisional Cina iaitu pagoda sebagaimana binaan-binaan yang lazim terdapat di negara China. Melalui kajian yang dibuat terhadap Menara Jam Condong yang dahulu dikenali sebagai Jam Tinggi, tujuanutama pembinaannya adalah sebagai keperluan memadam api sekiranya berlaku kebakaran dan sebagai tangki air untuk penduduk bandar sekiranya berlaku kemarau.



Menara Condong ini terletak di suatu sudut Jalan Selat bersebelahan Jalan Pasar di pusat bandar Teluk Intan. Menara setinggi 85 kaki (25.5 meter) dari paras bumi jika  diimbas pandang luaran menara ini kelihatan memiliki lapan tingkat berpandukan atap berbentuk payung yang dibina melingkari puncak menara. Tetapi hakikatnya ia hanya mempunyai tiga tingkat sahaja. Manakala sebanyak 110 anak tangga diatur melengkung bagi menghubungkan tingkat demi tingkat.
Jika anda ke Teluk Intan jangan lupa melawat menara condong ini, dan yang paling penting jangan lupa rakamkan gambar anda sekali. Tempat ini dibuka untuk lawatan setiap Isnin-Jumaat pada jam 8pagi – 5 petang. Pada hari Sabtu dan Ahad ia dibuka dari jam 9.00 pagi- 6.00 petang.

 

Sabah Negeri di Bawah Bayu





Percutian di Sabah sememangnya menjanjikan satu kenangan yang tidak boleh dilupakan terutama pada mereka yang pertama kali mengunjunginya. Memang tidak puas sebenarnya jika percutian itu cuma selama seminggu. Aktiviti di sini memang pelbagai jenis dan acara; termasuk meredah bukit (trekking), menaiki rakit, menyelam, mendaki gunung dan terdapat pusat peranginan pinggir pantai yang hebat untuk anda berehat selepas itu.
Terdapat pusat membeli belah di’tamu’ atau pasar tempatan di Kota Belud, Lebuh Gaya di Kota Kinabalu atau berhampiran Gunung Kinabalu. Kota Kinabalu ialah bandar raya kosmopolitan dengan beberapa pulau di luar pesisir pantainya.



Taman Negara Kinabalu ialah Tapak Warisan Dunia pertama di Malaysia dan Gunung Kinabalu dengan ketinggian 4,095m menjadi daya tarikannya. Yang menggemari cabaran boleh mencuba laluan dua-hari untuk tiba ke puncak, bagi yang tidak mampu mendaki, bolehlah bersiar-siar di sekitar ibu pejabat taman tersebut.
Orang Utan menjadi lambang negeri ini. Tempat Perlindungan Orang Utan Sepilok di Sandakan ialah tempat terbaik untuk menyaksikan mereka. Jauh ke pendalaman, Hilir Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong dan Lembah Danum juga boleh diterokai untuk melihat flora dan fauna yang eksotik. Tapak menyelam seperti Mabul, Lankayan, Layang Layang dan Mantanani menawarkan pemandangan kehidupan laut yang mengagumkan dan penginapan yang selesa. Hanya lawatan pada siang hari dibenarkan di Sipadan, salah satu tempat menyelam yang terhebat di dunia.
Kereta api antik Borneo beroperasi pergi balik dari Kota Kinabalu ke Tenom sementara kereta api stim pelancong beroperasi ke Papar, memaparkan pemandangan desa dan gaya hidup yang sungguh indah.
Perkhidmatan penerbangan domestik dan antarabangsa disediakan di Kota Kinabalu dan dari sini terdapat penerbangan ke destinasi lain di Sabah. Menaiki pesawat adalah cara ekonomi untuk menerokai negeri Sabah namun terdapat juga sistem perkhidmatan bas yang baik. Feri-feri berulang-alik ke Pulau Labuan yang merupakan pulau bebas cukai.

Selangor Darul Ehsan












Batu Caves yang terletak di dalam sebuah bukit batu kapur 15 km di utara Kuala Lumpur adalah sebuah tarikan pelancongan yang terkenal di Selangor. 

Destinasi terkenal ini dikunjungi pelawat dari serata dunia sewaktu sambutan perayaan tahunan penganut Hindu - Thaipusam. 

Batu Caves terdiri dari tiga buah gua yang besar termasuk gua utama yang mengandungi kuil Hindu yang dihiasi dengan ukiran halus. 

Salah satu pengalaman lawatan yang menarik di Batu Caves ialah pendakian 272 anak tangga menuju ke ruang gua utama. 

Berhampiran dengan gua utama ialah Gua Ramayana di mana dinding di dalamnya terlukis gambaran-gambaran kisah mitos epik India. Bukit batu kapur ini juga merupakan tempat popular untuk aktiviti memanjat batu




Pulau Carey terkenal dengan dua perkara - makanan laut yang lazat dan penduduk orang asli Mah Meri (disebut Mak Miri) yang terkenal dengan hasil ukiran dan topeng kayu yang mempesona. 


Penduduk Mah Meri yang tinggal di Pulau Carey tidak jauh dari tanah besar. 
Mereka telah menerima cara hidup moden dan bekerja di estet dan ladang yang berdekatan, tetapi mereka masih mengekalkan budaya dan cara hidup mereka yang unik. 

Selain dari persembahan tarian dan muzik tradisional mereka, penduduk Mah Meri juga terkenal dengan hasil seni ukiran tradisional. 

Salah satu ukiran terkenal ialah daripada kayu paya keras yang dinamakan "Nyireh Batu". 




Johor Darul Tak'zim


jalan utama ke gunung pulai

Satu-satunya hutan simpan yang terdekat dengan Johor Bahru ialah Hutan Simpan Gunung Pulai. Ia dibuka untuk orang ramai dan amat sesuai untuk aktiviti perkelahan ataupun bersantai bersama keluarga. Pokok-pokok yang tinggi melampai dan irama unggas rimba mengamit kedatangan para pengunjung di sini.. Keindahan air terjun Gunung Pulai merupakan tarikan utama hutan simpan ini. Air Terjun Gunung Pulai mempunyai 3 peringkat; yang terbesar ialah peringkat kedua setinggi 15 meter. Terdapat juga kolam buatan manusia yang sesuai untuk pengunjung bermandi-manda dan berkelah di peringkat pertama dan kedua. 
Pengunjung yang cintakan kehijauan alam akan terpesona melihat keindahan alam semulajadi serta hidupan liar di Gunung Pulai. Dibajai oleh sungai dan tanpa ganguan manusia, flora dan fauna mewarnai kehidupan di Gunung Pulai. 


Bagi mereka yang gemar berkhemah pula, kawasan perkhemahan juga disediakan. Bermula dari kaki gunung melalui peringkat pertama dan kedua air terjun, berjalan dicelah-celah hutan tropika dan berakhir di peringkat ketiga air terjun adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh mereka yang gemar merentas hutan. Setelah penat seharian meredah hutan, mereka bolehlah beristirehat di kawasan perkhemahan yang disediakan.






Air Terjun Kota Tinggi yang berketinggian 34 meter merupakan antara tempat pelancongan yang popular dikalangan pelancong tempatan dan luar negara. Keindahan dan kedinginan air yang datang dari atas gunung mendamaikan rasa para pengunjung. Terdapat beberapa buah chalet yang didirikan berhampiran dengan kawasan ini bagi memberi kemudahan kepada mereka yang ingin menginap serta menikmati keindahan waktu malam. Terdapat pelbagai restoran yang menyajikan hidangan makanan ala chinese dan barat serta gerai- gerai makanan yang lain. Selain daripada itu tapak perkemahan juga disediakan bagi mereka yang gemarkan dengan aktiviti perkhemahan






Melaka Negeri Bersejarah



Melaka salah satu tempat bersejarah yang terdapat di Malaysia.

Masuk saja mana-mana lorong di tengah-tengah bandar bersejarah ini, anda pasti menemui sesuatu yang mampu membuat anda terpegun. Bangunan lama di samping perdagangan dan pertukangan tradisional menobatkan lokasi ini sebagai antara destinasi yang paling banyak dikunjungi pelancong di Malaysia. Bangunan di sini mencerminkan pengaruh Portugis, Belanda dan British manakala pusat bandar rayanya pula amat sesuai untuk bersiar-siar dengan berjalan kaki.

taman buaya



Tempat bersejarahnya termasuk bangunan Stadthuys, Christ Church, Gereja St. Paul dan kota A’Famosa dibina oleh Portugis pada tahun 1511. Jalan Hang Jebat (Jonker’s Street) pula merupakan lubuk kedai barangan antik, galeri dan kedai cenderamata. Anda boleh mengelilingi Melaka dengan menaiki beca yang berwarna-warni untuk pengalaman yang berbeza. Ayer Kerch, 15km dari bandar raya Melaka, menawarkan tempat menarik seperti hutan rekreasi, zoo, taman buaya dan ‘Mini Malaysia.
taman rama-rama



Ujong Pasir ialah penempatan Portugis ke arah selatan Melaka di mana para pengunjung boleh menikmati datarannya yang menzahirkan kehidupan penuh semangat dan nikmati juadah makanan laut yang diberi sentuhan Portugis. 



Satu lagi tempat yang amat menarik ialah Perigi Hang Li Poh, yang mengambil nama sempena nama puteri Maharaja Ming yang dihantar untuk dijodohkan dengan Sultan Mansor Shah demi mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara kedua-dua negara. Hadiah daripada Sultan kepada pengantin perempuan baginda, iaitu Bukit Cina, dijadikan kediaman rasmi mereka. Perigi yang dibina oleh pengikut puteri Cina ini untuk kegunaan peribadinya, juga menjadi sumber air bagi pekan ini. Bukit Cina merangkumi dua bukit yang berganding. la dijadikan jirat yang menempatkan lebih 12,000 kubur, ada antaranya yang wujud sejak zaman dinasti Ming lagi.

Melaka termasyur sebagai bandar muzium, Muzium Memorial Kemerdekaan
menempatkan dokumen berkaitan dengan peralihan pemerintahan negara ini dari zaman penjajahan Malaya ke zaman Malaysia.



Pulau Pinang Pulau Mutiara




Inilah pengangkutan laut yang masih lagi disediakan sebagai perhubungan dari seberang ke pulau iaitu feri.








Jambatan pulau pinang merupakan satu jalan perhubungan bagi penduduk-penduduk di sini. Di samping itu, jambatan ini  juga merupakan satu mercu tanda bagi Pulau Pinang.





KOMTA merupakan tempat untuk membeli belah seperti baju, kasut, permainan dan lain-lain lagi. Komta mempunyai 65 tingkat di mana menempatkan pejabat-pejabat exco kerajaan negeri.



Selain itu, terdapat satu tempat yang agak popular dan jika anda tidak kesana apabila ke Pulau Pinang semestinya anda seorang yang rugi iaitu Batu Feringghi.. Biasanya,  pelancong asing yang gemar datang melancong dan bermalam di sini. Terdapat banyak hotel yang bertaraf bintang lima di sini.  Pada hujung minggu, orang ramai akan berkunjung ke sini untuk berkelah di tepi pantai bersama keluarga atau rakan-rakan




Ini adalah kawasan kampung nelayan yang terletak di Teluk Bahang iaitu sebelah Batu Feringghi. 



Negeri Sembilan Darul Khusus




Port Dickson 





Kawasan pesisiran pantai Port Dickson (PD) terkenal sebagai destinasi percutian hujung minggu. Ramai warga kota yang bertandang ke sini setiap ada kelapangan.


Nama Port Dickson ini sebenarnya diambil sempena nama seorang pegawai British Sir Joh Frederik Dickson pada 1889. 

Port Dickson terkenal kerana kawasan pantai, yang mempunyai pelbagai kemudahan untuk para pengunjung. Terdapat juga tempat penginapan bagi mereka yang ingin bercuti di sini. 

Antara pantai yang terkenal di sini ialah Teluk Kemang dan Teluk Biru (Blue Lagoon), selain terdapat kemudahan untuk sukan air dan aktiviti pantai




Pahang Darul Makmur





Pulau Tioman, Malaysia: malaysia


Pulau Tioman merupakan destinasi percutian yang paling mempesona di Laut China Selatan, terletak kira-kira 56km dari pantai negeri Pahang. Tersohor sebagai salah sebuah destinasi percutian pulau yang terhebat di dunia, Pulau Tioman pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Hollywood, 'South Pacific' pada tahun 1959. 

Menurut cerita legenda, pulau ini merupakan tempat tinggal puteri naga dongengan. Perairan yang suam dan jarak penglihatan yang tinggi di bawah laut menjadikan Pulau Tioman destinasi popular di kalangan penyelam. 

Saksikan pemandangan yang mengagumkan termasuk karang lembut Gorgonian, karang Staghorn, 'nudibranch' dan pelbagai bentuk hidupan laut yang indah. Penyelam berpeluang berenang di sisi ikan Napoleon Wrasse yang besar, ikan Golden Striped Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers. 

Terdapat beberapa buah perkampungan di sepanjang pantai di sekeliling pulau ini, antaranya Kampung Salang, Tekek, Genting, Paya dan Juara. 
Setiap kampung menawarkan suasana yang berbeza dan unik. Kawasan pedalaman Pulau Tioman yang berhutan juga menjadi tempat tinggal pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan kecil termasuk rama-rama, mengkarung, rusa dan monyet. 
Tumbuhan dan haiwan liar yang terdapat di Pulau Tioman juga pernah dipaparkan di dalam dokumentari National Geographic. Formasi batu granit yang membentuk pulau ini menjadikannya lokasi yang hebat untuk aktiviti memanjat batu. 
Bagi mereka yang lebih berani, boleh mencuba memanjat tebing Gunung Nenek Semukut (juga bergelar Dragon's Horns). Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa Resort menawarkan tempat penginapan yang mewah, berlatarbelakangkan pemandangan bukit-bukau yang beralun. 



Genting Highlands 



Kota Keriangan yang terletak di puncak Genting Highlands yang sejuk dan berangin ini menawarkan keriangan dan keseronokan tanpa henti. Salah satu tarikan utama di Genting Highlands ialah cuacanya yang sejuk dan nyaman. Oleh sebab kedudukannya yang terletak 2,000m dari paras laut, warga Malaysia gemar datang ke sini semata-mata untuk menikmati cuaca nyaman seakan-akan di Eropah! 


Pada waktu petang, persembahan-persembahan hebat diadakan di Pavilion atau Pentas Pertunjukan Antarabangsa Genting, sama ada pertunjukan silap mata yang mengelirukan atau pun persembahan luncur ais yang hebat. Pelawat juga boleh pergi membeli-belah di First World Plaza, melawat taman tema, dan menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan di restoran-restoran yang terdapat di sini. 

Taman tema tertutup dan kompleks membeli-belah First World Plaza menyediakan pelbagai jenis permainan serta enam kawasan bertema yang berasaskan ibukota dan tempat terkenal di seluruh dunia - Perancis (Champs Elysees), England (London), Itali (Venice), Amerika (Times Square dan Universal Walk), Switzerland (Banjaran Swiss) dan Malaysia (Genting Walk). 

Snow World pula merupakan sebuah rumah kabin kayu, sebuah igloo, permainan luncur ais dan kawasan permainan yang bersalji. Kawasan Snow World memang sejuk, oleh itu, jangan lupa memakai pakaian yang tebal. Kanak-kanak pasti sukakan Kolam Air Hutan Hujan, walaupun keadaan cuaca di sini agak sejuk, air di dalam kolam ini sentiasa hangat. 

Antara tarikan lain yang terdapat di sini termasuk Genting Sky Venture, satu-satunya alat kemudahan yang memberikan pengalaman berpayung terjun yang terdapat di Asia, dan Genting X-pedition Wall, sebuah tembok pendakian bertaraf antarabangsa setinggi 15 meter dengan tebing terjuntai sepanjang 6 meter. Lain-lain tarikan di sini termasuk kemudahan bermain bowling, arked video, pawagam cineplex dan macam-macam permainan lain yang pasti menyeronokkan. 

Salah satu tarikan utama di sini ialah kasino yang merupakan satu-satunya kasino di Malaysia. 



Sarawak Bumi Kenyalang



Jika anda berkunjung ke Kuching, Sarawak, antara tarikan menarik di sekitar bandaraya tersebut adalah Sarawak River Cruise, di mana anda boleh menaiki bot yang menyusuri sepanjang Sungai Sarawak sambil 


menikmati pemandangan menarik di sekitarnya. Ada beberapa syarikat yang boleh dipilih oleh anda, dan bergantung kepada syarikat, saiz bot dan harga yang ditawarkan adalah berbeza.
Sebagai contoh, syarikat Harbour Cruise menawarkan pakej perjalanan menyusuri sungai selama satu jam, pada harga antara RM40 hingga RM45 seorang. Harga ini termasuk dengan makanan ringan yang akan disediakan sepanjang perjalanan, serta persembahan tarian yang akan dipertunjukkan oleh sekumpulan penari tempatan.



Jeti bot yang mengambil penumpang berpusat di Kuching Waterfront, iaitu sebuah kawasan yang menjadi tumpuan ramai pelancong tempatan dan luar negara. Kedudukannya yang strategik juga membolehkan mereka yang menginap di hotel hotel utama seperti Holiday Inn, Crown Plaza Riverside (CPR), Hilton dan Harbour View berkunjung ke Waterfront pada bila bila masa sahaja kerana jaraknya yang begitu dekat.
Melalui jeti di sini juga, mereka yang ingin menyeberangi sungai untuk pergi ke tempat tempat tertentu seperti restoran atau kedai kek lapis Sarawak Dayang Salhah boleh menaiki perahu tambang pada harga yang cukup murah, iaitu antara 30 sen dan 50 sen sahaja.



Harbour Cruise menawarkan beberapa trip perjalanan dalam masa sehari, namun yang seringkali mendapat sambutan adalah trip yang diadakan pada sebelah petang (5.45 petang, dan tiket boleh dibayar sewaktu menaiki bot) di mana penumpang bot akan dapat menikmati pemandangan di pinggir sungai serta dalam masa yang sama boleh juga merasai pengalaman melihat matahari tenggelam jauh di horizon.






Antara pemandangan yang boleh dilihat sewaktu bot dikemudi adalah Brooke’s Dockyard, bekas masjid negeri, Astana (tempat gabenor Sarawak bertugas), Fort (Kubu) Margherita, Waterfront, gunung Santubong, Kampung Boyan dan lain lain termasuk kediaman salah seorang ahli keluarga terdekat Ketua Menteri, YAB Pehin Sri Haji Taib Mahmud yang tersergam indah seperti istana.



Terengganu Darul Iman



MASJID TERAPUNG



Masjid yang lebih dikenali dengan panggilan Masjid Terapung ini sebenarnya diberi nama  Masjid Tengku Tengah Zaharah sempena nama bonda Al-Marhum Sultan Terengganu , Al-Marhum Sultan Mahmud  terletak kira-kira 7 km dari bandar, mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri berbanding dengan masjid lain dibina di atas air di muara Sungai Ibai yang sekaligus menjadikan masjid terapung yang terulung di negara ini.


Masjid yang mula dibina pada September 1991 dan siap pertengahan Januari 1994 bernilai RM6.997 juta yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya direkabentuk oleh Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, dari Seni Bahri dengan menampilkan ciri-ciri tamadun Islam dan gabungan senibina tempatan.

Keluasan 1,372 meter persegi dan menara setinggi 30 meter, sebuah kubah besar dan lima wakaf serta di kelilingi air sedalam 1.5 meter ini mampu menampung jemaah sehingga 1,000 orang yang menempatkan dewan solat lelaki di bahagian bawah manakala wanita di bahagian atas.

Masjid yang telah dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Terengganu, Sultan Mahmud ini menyediakan kemudahan lain seperti bilik diraja, mini perpustakaan, bilik dan pejabat imam, stor dan tempat wuduk serta kawasan letak kereta yang boleh menampung lebih 400 kenderaan.

Dengan kombinasi lanskap, warna langit yang membiru, kilauan cahaya mentari dari permukaan air yang mengelilingi masjid itu serta tiupan angin dari Laut China Selatan , pastinya ia menjadi masjid yang paling nyaman dan mendamaikan memberi erti betapa keagungan syiar Islam terangkum dalam suatu bentuk tamadun yang terus berkembang.




ISTANA MAZIAH



Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi Kesultanan Terengganu. Istana dua tingkat ini letaknya berhampiran dengan kaki 'Bukit Puteri' disebelah matahari naik. Jauhnya dari gigi air Sungai Kuala Terengganu lebih kurang 10 rantai. Keadaannya menghala ke Laut China Selatan.


Di Istana inilah upacara  rasmi negeri diadakan seperti istiadat-istiadat pertabalan dan kemahkotaan Sultan Terengganu, keputeraan, Perkahwinan Diraja, Berkhatan, Bertindik dan tempat sambutan lawatan-lawatan tetamu negeri . Istana ini didirikan bagi menggantikan Istana Hijau yang telah hangus terbakar ( yang dibina pada masa pemerintahan  Sultan Umar (Marhum Baginda) pada 7 Zulhijjah 1286 H (10.3.1870 m) ) yang letaknya berhampiran dengan tapak yang sama. Terdapat percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat pukul 10.00 pagi, 31 Mei 1895 ( Zulhijjah 1312) di masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881 -1918). Manakala catatan Dato'   Seri Amar DiRaja Haji Ngah Muhammad bin Yusof , istana ini dibina pada tahun 1897.Pengurusan pembinaan serta juteranya ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Abdul Jalil, seorang ahli seni yang terkenal semasa itu (Ipar kepada Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Zainal Abidin Yang Ketiga)

Bahan yang digunakan untuk membina istana ini ialah campuran kapur , tanah liat dan pasir garam, putih telur dan manisan. Kira-kira 20 orang tukang Melayu dan Cina terlibat dalam pembinaan istana ini. Upacara " naik istana " diadakan pada 5 Ogos 1903 ( 14 Jamdil Awal 1321 ) selepas mengalami masalah kewangan menyebabkan pembinaan tertangguh seketika.

BUKIT PUTERI



Bukit Puteri tersergam indah. Berdiri megah menghala ke Sungai Terengganu merupakan tempat bersejarah yang penuh keunikan dan menyimpan misteri. Letaknya berhampiran dengan Istana Maziah dan Pejabat Pos Besar Kuala Terengganu iaitu di dalam kesibukan bandar menjadikan Bukit Puteri tampak hebat jika dibandingkan dengan tempat lain hinggakan bagi sesetengah pencinta sejarah, mereka berpendapat Bukit Puteri adalah lambang sejarah negeri. Dengan keluasannya kira-kira 0.688 hektar dan tingginya lebih kurang 200 meter. Bukit ini sudah dikenali sebelum pemerintahan Sultan Zainal Abidin I. Kononnya nama Bukit Puteri diperolehi dari urutan cerita-cerita primitif. Ada yang mengatakan nama diperolehi daripada nama Tuk Raja Menteri dari Johor yang membuka Bukit Puteri.
Selain daripada itu ada pula cerita menyatakan bukit ini menjadi tempat tinggal Puteri Bunian dan penduduk tempatan selalu meminjam pinggan dan mangkuk dari puteri tersebut untuk majlis-majlis keramaian atau perkahwinan tetapi sebilangan peminjam tidak memulang barang-barang yang dipinjam atau menggantikan barang yang pecah . Akibat tidak amanah ini , tuan puteri meninggalkan bukit ini  ke sebuah bukit lain di Daerah Besut.


Mengikut Sejarah Terengganu pula Bukit Puteri telah wujud sejak abad ke 16 lagi.

Bukit inilah pada abad ke 19, menjadi rebutan dan medan pertempuran beberapa pihak yang saling bertelingkah untuk menguasai pentadbiran di Kuala Terengganu. Kedudukannya yang tinggi amat sesuai sebagai sebuah kota pertahanan dan dapat mengawas kapal-kapal musuh memasuki muara. Kota yang dibina oleh Yang DiPertuan Besar Tengku Umar pada tahun 1830 berikutan perebutan kuasa untuk memerintah diantara baginda dan Yang DiPertuan Tun Raja Mansur. Biarpun Tengku Umar dikalahkan dan Raja Mansur ditabalkan menjadi Sultan Terengganu yang ketujuh pada tahun 1839, Tengku Umar berjaya merampas semula kota ini dan ditabalkan menjadi Sultan Terengganu yang ketujuh pada tahun 1831, bergelar Sultan Mansur Syah II tapi pada tahun 1839 , Tengku Umar berjaya merampas semula kota ini dan ditabalkan menjadi Sultan Terengganu yang kesembilan bergelar Baginda Sultan Omar. Di Kota Bukit Puteri inilah baginda bersemayam hingga baginda mangkat pada tahun 1876.

Diatas bukit ini terdapat beberapa monumen dan artifek bersejarah. Antaranya ialah Genta (Loceng Besar) Meriam beranak, Tiang Bendera, Rumah Api, Kubur dan Kubu Pertahanan Bandar Kuala Terengganu.




Air Terjun Sekayu




Salah satu tempat menarik di Terengganu yang harus anda  
kunjungi bagi menikmati keindahan alam semulajadi. Kawasan air terjun Sekayu yang menjadi tumpuan penduduk tempatan terutamanya pada hari Jumaat dan cuti awam ini, terletak 56km selatan-barat Kuala Terengganu, berdekatan Kuala Berang. Ia kawasan taman yang agak luas dan mempunyai rangkaian air terjun yang agak jauh ke dalam, berdekatan dengan lereng gunung. Air terjun utama terletak 15 minit dari pintu masuk taman. Perjalanan seterusnya mengambil masa 20 minit untuk sampai ke tingkat air terjun yang lebih menarik. Anda boleh berenang di kedua-dua kawasan terjun, sambil menikmati suasana dusun buah-buahan tropika yang terdapat di kawasan taman ini.Untuk ke sini, anda boleh menaiki bas dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang (RM4), kemudian meneruskan perjalanan dengan teksi (RM15 satu hala). Memandangkan kawasan air terjun agak terpecil, anda boleh meminta pemandu teksi untuk menunggu (percuma untuk satu jam pertama, tapi bayaran RM12 dikenakan untuk jam seterusnya). Jika anda memandu kenderaan send iri, berhati-hati apabila melalui kawasan kampung. Kerap-kali, jalan raya menjadi tempat laluan lembu- lembu penduduk tempatan. Kawasan Air Terjun Sekayu amat sesuai dijadikan destinasi persinggahan sebelum atau selepas bercuti di Tasik Kenyir.



Kelantan Darul Naim



Pantai Sri Tujuh merupakan tempat yang berlangsungnya Pesta wau antarabangsa. Pantai ini berada berhampiran dengan sempadan Thailand dan Kelantan di Kampung Tujuh yang teletak di Tumpat, 7 km daripada Kota Bharu. Untuk ke sana pengunjung bolehlah menaiki bas yang bernombor 43 daripada terminal utama. Sepanjang perjalanan para pengunjung dapat melihat pemandangan yang menarik.




Pantai yang terkenal di Kelantan ialah Pantai Cahaya Bulan (PCB) dahulunya PCB dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi. Keindahannya dihiasi dengan pokok Ru dan pokok kelapa bagi pengunjung menikmati keindahan pantai ini. Pantai ini sesuai bagi pengunjung yang ingin beristirehat bersama keluarga.


Perlis Indera Kayangan




Gua Wang Burma
Sebuah gua kembara yang mempunyai pembentukan batu kapur yang menarik. Pelawat yang ingin ke gua ini perlu mendapat bantuan pemandu pelancong.












Menara Kayangan
Menara ini terletak di Laluan 15 kg Wang Kelian. Pelawat berpeluang 
menikmati pemandangan sekeliling yang menakjubkan iaitu Tasik Timah Tasoh dan Bukit Chabang yang merupakan Menara Kembar Perlis.




Denai Warisan Tok Jaafar
Ianya merupakan laluan pejalan kaki yang pernah menghubungi komuniti di Kampung Wang Kelian dan Pekan Kaki Bukit. Laluan ini amat bernilai dari sudut sejarah dan tumbuhan.





Nat di Wang Kelian
Pada hari Ahad pelancong tempatan berpeluang menyeberangi sempadan Thai-Malaysia tanpa menggunakan dokumen perjalanan 
dengan syarat mereka berada di kawasan pasar minggu tersebut. Antara barangan jualan ialah buah-buahan segar, pakaian dan barangan kraf.





 Gunung PerlisMerupakan titik yang paling utara di Semenanjung Malaysia. Trek pendakian ke puncak gunung yang tingginya 733m ini agak mencabar dan mengambil masa kira-kira 3 – 5 jam untuk seseorang yang sihat dan berstamina mendakinya. Pemandu pelancong diperlukan bagi tujuang pendakian.




Tasik Meranti & Lata Kasih
Tasik ini terletak di suatu kawasan lembah dengan pemandangan indah di kelilingi oleh bukit-bukit batu kapur. Terdapat kemudahan berkayak 
di sini. Lata kasih merupakan sebuah kawasan air terjun yang indah dan mempunyai jalan masuk yang sempurna.





LaGi tEmpAt mEnaRiK.....siLa cLiCk SINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...